MOTIVASI KURUS DI MEDIA SOSIAL

0



“Hebat betul dia kurus dalam masa sebulan, aku rasa nak tiru macam dia juga, cepat dapat result”

Zaman media sosial sekarang, konten telah menjadi tarikan kuat dan penentu kejayaan seseorang. Semua orang nak buat konten, boleh jana pendapatan dengan jual barang dan boleh buat orang teruja untuk jana pengikut.

Namun kita perlu cepat sedar, kandungan cerita internet kebiasaannya adalah indah khabar dari rupa. Bukan lah saya ingin menafikan kejayaan dan kebaikan seseorang yang berkongsi, tetapi kita kena bijak menapis segala bahan yang kita baca dan ambil.

Sebagai contoh, ramai orang buat konten motivasi perjalanan dia kurus. Ya memang benar dia kurus. Namun cepat teruja dengan kisahnya dan termotivasi nak kurus ikut sama seperti dalam konten tersebut adalah tidak tepat bahkan mungkin bahaya.

Ini kerana konten 2 minit ke 5 minit seseorang itu tidak menceritakan keseluruhan perjalanan dia kurus. Apa yang kita lihat mungkin hanya 2% sahaja. Video yang dipotong gambar gemuk diselangi senam dan tiba-tiba kurus itu tidak menceritakan kisah dia jatuh atau gagal mungkin berkali-kali. Tak ramai nak cerita dia gagal. Ramai akan cerita manis-manis sahaja.

Saya bukan menafikan seseorang itu berjaya kurus, tetapi untuk tiru bulat-bulat seperti dalam konten itu adalah bukan cara yang betul. Kita mesti pernah baca orang turun berat 10kg dalam satu bulan, dan kita pun terasa mahu seperti itu.

Apakah cerita itu benar adalah satu perkara dan apakah cara menurunkan berat badan sehingga 10kg dalam tempoh sebulan itu cara yang ‘sihat’ adalah satu perkara yang lain.

Point saya disini adalah, kita perlukan ilmu untuk memulakan perjalanan sihat. Samada perjalanan ke arah sihat atau perjalanan ke arah cergas. Bukan hanya kutip-kutip konten di media sosial. Ramai diluar sana yang nak jadi motivator diet sekarang ni, bukan hanya bidang kecergasan sahaja, bidang lain pun ramai content creator jadi-jadian nak tumpang untuk dikenali.

Yang memandu kita untuk berjaya dan konsisten dalam suatu perjalanan itu adalah ilmu. Berapa ramai yang gemuk kembali selepas berpenat lelah kurus, antara faktornya adalah tidak ada ilmu dan kefahaman yang betul dalam memahami diet dan komposisi badan. Akhirnya bila hilang motivasi mereka memilih gemuk asalkan “sihat”.

Jika kita benar-benar tekad nak sihat, nak cergas, nak kurus secara sihat dan konsisten, kita kena belajar dengan guru atau mereka yang berpengalaman. Beritahu dia hasrat kita. Tak kisahlah guru berbayar atau percuma, namun mesti ada panduan guru.

Nak mengaji al-Quran pun kena ada guru, takkan nak cergas boleh kutip-kutip je? Ilmu sains sukan, kecergasan dan pemakanan juga perlu belajar dengan betul dan teratur.

Kemudian seorang yang berpengalaman itu akan pandu kita berdasarkan penilaian kekuatan dan kelemahan kita. Sebab setiap orang keperluan dan juga tahap kesihatannya pasti berbeza-beza. Apakah bijak meniru konten orang gemuk yang mempunyai berat 120kg buat skipping? Betulkah itu cara senaman yang betul bagi mereka yang mempunyai berat 100kg ke atas? Bagaimana pula dengan faktor umur yang tidak diambil kira. Jangan terkejut, itu lah konten yang kita jumpa di media sosial.

Maka wahai pembaca yang budiman, cintai lah ilmu dalam memburu kesihatan dan kecergasan. Ilmu yang akan pandu kita. Motivasi juga sebenarnya datang dengan kefahaman ilmu. Semoga kita kekal cergas!

Penulis: Coach Danial Madani
Jurulatih Kecergasan Bertauliah, The National Association For Strength and Conditioning Research, NASC.
Certified Foundation in Nutrition & Wellness Program and “Nutrilite: Reasons to Believe” organized by Integrative Healthy Academy (IHA) in collaboration with Nutrilite and Institute of Professional Development, Open University Malaysia (IPD-OUM).
#tintafitness

#tintafitness

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *