Ustaz dan Pendakwah harus menjadi ikon sihat dan cergas
“Saya perhatikan ramai yang perut boroi, ada yang termengah-mengah masa memberi kuliah”
Ini antara hasil luahan dari kawan yang mempunyai kesedaran menjaga kesihatan. Dia bukan ajak bergosip, tetapi hanya berbual-bual tentang kepentingan para ustaz mendapat kesedaran kesihatan dan kecersasan.
Melalui permerhatian peribadi saya juga, ada kebenarannya, ada ustaz dan pendakwah yang tidak ambil kisah tentang penampilan diri. Gemuk dan perut buncit telah jadi normalisasi yang tidak diambil serius untuk diubah. Walhal para ustaz bahkan yang bergelar pendakwah lah harus menunjukkan contoh terbaik dalam menjaga kecergasan dan penampilan diri.
Saya tidak berniat untuk merendahkan keperibadian tubuh badan seseorang, kerana kita harus terus bersangka baik bahawa setiap orang ada cabaran dan ujian kesihatan yang tersendiri, namun bagi mereka yang ikhlas inginkan kesedaran dan perubahan saya yakin tulisan ini tidak akan mengecilkan hati sesiapa.
Perlu difahami, menjaga penampilan diri melalui kecergasan bukan lah bermakna para ustaz perlu berbadan sasa seperti atlet angkat berat mahupun atlet bina badan. Namun cukup lah jika hanya cergas dan tidak kelihatan buncit.
Perhatikan bagaimana Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu menegur seseorang ketika bertemu dengannya di jalan dan bertanya kepadanya; “Kenapa perutmu besar seperti ini (buncit)?“,
Dia menjawab: Ini adalah kurniaan dari Allah,”
Jawab Umar:
“Ini bukan kurniaan, tapi ini adalah azab dari Allah!”
Umar pun melanjutkan ucapannya: “Hai sekalian manusia, hindari lah perut yang besar kerana ia akan membuat kalian malas menunaikan solat, merosakkan organ tubuh, menimbulkan banyak penyakit. Makanlah kalian secukupnya. Agar kalian semangat menunaikan solat, terhindar dari sifat boros dan lebih giat beribadah kepada Allah swt”.
Apakah gemuk atau berbadan besar itu mesti bermaksud tercela dan membawa makna negatif? Sudah pastinya tidak. Bahkan Allah swt menilai seseorang melalui iman dan taqwannya. Boleh sahaja ia gemuk namun dia tetap rajin beribadah dan rajin bekerja.
Namun jangan lah kegemukan itu disebabkan oleh habit buruk diri sendiri yang sengaja bermalas-malas tidak bersenam, suka makan dan kuat tidur. Ini sudah pasti dilarang dalam agama. Apa sahaja yang membuat seseorang malas daripada Ibadat maka ianya dilarang. Jika berbadan sado sekalipun namun malas dan mencuaikan ibadat juga turut dilarang kerana ‘kecergasannya’ tidak memberi manfaat untuk akhiratnya.
Perhatikan hadis dibawah bahawa Nabi saw mengingatkan bahawa kegemukan adalah antara ciri-ciri orang yang tidak baik.
Daripada Imran bin Hussain r.a, Nabi s.a.w bersabda:
Sebaik-baik umat ku adalah kurun ku. Seterusnya yang mengikuti mereka, seterusnya yang mengikuti mereka. Imran berkata: Aku tidak tahu adakah baginda menyebutkan dua atau tiga kurun selepas kurunnya.
Baginda bersabda lagi: “Sesungguhnya selepas kalian akan muncul kaum yang bersaksi tanpa diminta memberi persaksian, khianat dan tidak amanah, bernazar dan tidak menunaikannya,
KEGEMUKAN akan terzahir daripada mereka. [Sahih al-Bukhari, Kitab Fadhail Ashab an-Nabiy, hadis no: 3650]
Kegemukan sudah semestinya adalah tidak digalakkan, kerana lazimnya ia akan membawa kepada sifat malas untuk beribadat kepada Allah swt bahkan banyak lagi kekurangan jika seseorang itu berbadan gemuk.
Namun perlu diingatkan sekali lagi, kegemukan orang lain adalah ujiannya dan bukan menjadi bahan untuk kita bersangka buruk dan menjatuhkan hukum.
Cukuplah ia menjadi sebuah peringatan kepada mereka yang benar-benar mencari jalan terbaik untuk terus menjaga kesihatan dan kecergasan badannya. Kurus atau sado atau tetap berbadan gemuk, kesemuanya mestilah dilakukan dengan niat yang betul.
Penulis: Coach Danial Madani
Jurulatih Kecergasan Bertauliah, The National Association For Strength and Conditioning Research, NASC.
Certified Foundation in Nutrition & Wellness Program and “Nutrilite: Reasons to Believe” organized by Integrative Healthy Academy (IHA) in collaboration with Nutrilite and Institute of Professional Development, Open University Malaysia (IPD-OUM).
#tintafitness